Dalil-dalil sumber perundangan Islam :
- Dalil yang disepakati oleh semua orang Islam iaitu Al-Qur’an dan As Sunnah.
- Dalil yang disepakati oleh jumhur muslimin iaitu Ijma’ dan al Qiyas.
- Sumber yang berlaku perbezaan pendapat dikalangan para ulama’, hatta dikalangan para ulama’ yang beramal dengan konsep qiyas. Bahagian ini merangkumi al-urf, al-istishab, al-istihsan, al-Masalih al-Mursalah. Syar’u man Qablana dan Mazhab al-Sahabi di mana sebahagian ulama’ mengambil ia sebagai sumber hukum sedangkan lain tidak menganggap ia sebagai hukum.
i) Al-Qur’an
Ta’rif Al-Qur’an dalam bahasa Arab yang bermaksud:
“ialah lafaz dalam bahasa Arab diturunkan kepada Nabi Muhammad saw yang dapat melemahkan dengan sesuatu surah, dipindahkan dengan jalan mutawatir, bacaannya merupakan amal ibadah”
Petunjuk ayat-ayat al-Qur’an Nas-nas Al-Qur’an terbahagi kepada 2 perkara:
a) Dalil yang merupakan nas yang terang. Dalil-dalil ini tiada berkehandakkan penjelasan atau huraian yang lain lagi. Contohnya dalam Firman Allah swt:
“Dan bagimu (suami) separuh dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak”
[Surah An Nisa’ : 12]
b) Dalil yang berupa hukum mumjal, am, musytarak (bersekutu). Ayat yang seperti ini berkehendakkan kepada penerangan hadith. Hadithlah yang menentukannya kepada maksud ayat tersebut.
Contoh ayat:
“Dirikanlah olehmu akan solat”
[An nur : 77]
Ayat ini mumjal kerana ia tidak menerangkan cara atau peraturan solat, syarat atau rukunnya. Untuk mengetahui perkara ini perlu kita mengambil dalil dengan hadith Rasulullah saw:
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat”
PERANAN AL QUR’AN
- Sebagai perundangan yang menjadi dasar hukum Islam yang sesuai dijalankan pada bila-bila masa dan segenap tempat
- al-qur’an menjadi petunjuk kepada seluruh manusia daripada kekufuran kepada hidayah.
- Sebagai khabar gembira kepada orang yang mentaati perintahnya dan amaran keras bagi orang yang melampaui batas.
ii) As-Sunnah
Dari segi bahasa bermaksud perjalanan, perlakuan, amalan method atau cara hidup.
As- Sunnah juga bermaksud membuka/merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk. Dari segi istilah apa-apa yang lahir daripada baginda Nabi saw sama ada perkataan atau sifat kejadian atau akhlak atau sirah (sejarah) sama ada sebelum diutuskan Nabi atau selepas diutuskan Nabi menjadi rasul. Sunnah pada istilah ahli-ahli Usul Fiqh iaitu apa yang diambil daripada Nabi saw daripada perkataan, perbuatan atau perakuan. Ini dapat menyimpulkan bahawa Sunnah terbahagi kepada 3 bahagian:
a) Sunnah Qauliyah (perkataan) yang juga dinamakan hadith dan al-Khabar. Contohnya sabda Nabi saw:
Ertinya : “sesungguhnya segala macam amalan itu mengikut niatnya”
b) Sunnah Fikliah (perbuatan) seperti solat yang ditunjukkan oleh Nabi saw sepertimana Sabda baginda:
Ertinya : “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat”
c) Sunnah Taqririyyah (pengakuan) iaitu apabila Nabi saw melihat sesuatu tingkahlaku atau mendengar satu pertuturan para sahabat tetapi baginda tidak mengingkarinya, misalnya seperti pengakuan Nabi terhadap para sahabat yang memakan Himarulwahsyi (keldai liar).
iii) Ijma’
Takrif Ijma’ dalam bahasa Arab:
Ertinya: “Persepakatan ulama’ mujathidin daripada umat Nabi Muhammad saw terhadap sesuatu hokum syara’ pada sesuatu masa selain daripada zaman baginda” Makna (ittifak) ialah ijmak atau sepakat, sama ada dalam bentuk I’tiqad atau kata atau perbuatan atau kelakuan.
Makna “Mujtahidin” takrif ini akan mengeluarkan orang awam, kerana biasanya mereka tidak mempunyai dalil atau sandaran. Dan mengeluarkan ijma’ sebahagian daripada ulama’ mujtahidin, kerana jaminan ‘Ismah hanya kepada ijma’ semua ulama’ mujtahidin. Sebenarnya Ijma’ mulai muncul sejak zaman sahabat di mana Abu Bakar ketika dikemukakan dengan sesuatu masalah, baginda akan menyelidikanya di dalam Al-Qur’an dan terus menghukum jika terdapat di dalam Al-Qur’an; tetapi sekiranya tiada didapati di dalam al-Qur’an beliau akan menyelidiki pula di dalam sunnah Rasulullah, jika ada akan dihukum menurut as-Sunnah, jika tiada beliau akan mengumpul para sahabat untuk bermesyuarat mengenai masalah tersebut. Kaedah persetujuan dalam menentukan hokum melalui mesyuarat ini dinamakan sebagai ijma’
Syarat-Syarat Ijma’
- Para ulama’ mujtahidin bersifat adil dan sentiasa menjauhi perbuatan bid’ah.
- Semua ulama’ mujtahidin mengeluarkan pendapat yang serupa dalam satu zaman.
- terdapat beberapa ulama’ mujtahidin. Kalaulah kebetulan hanya seorang ulama’ mujtahidin sahaja dalam zaman itu pendapatnya tidak berupa ijma’
- Hukum yang diijmakkan adalah hukum syara’.
- Tiada seorang ulama’ mujtahidin menarik balik pendapatnya.
iv) al-Qiyas
sebagai menerangkan hukum sesuatu perkara yang tidak terdapat didalam nas, dihubungkan dengan perkara-perkara yang telah diketahui hukumnya dengan nas yang terdapat di dalam al-Qur’an dan As-Sunnah. Contohnya, seperti diharamkan memukul kedua ibu bapa dinisbahkan dengan haramnya si anak, berkata (ah) kepada keduanya. Takrif dalam bahasa Arab:
Ertinya : “Ialah persamaan antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain pada illat hokum syarak. Illat ini tidak begitu mudah faham dari dalil hokum itu semata-mata berpandukan fahaman bahasa.” Dari takrif di atas, dapat difahami bahawa qias mempunyai empat rukun iaitu:
Asal iaitu tempat hukum yang sabit dengan dalil al-Qur’an atau hadith atau ijma’ seperti arak yang telah sabit hukumnya dengan al-Qur’an.
Hukum Asal: iaitu hukum syarak yang sabit dengan dalil yang hendak diluaskan kepada tempat lain seperti hukum haram arak.
Furuk: iaitu tempat dan hukumnya tidak ditegaskan dalam al-Qur’an atau hadith atau ijma’.
Illat: iaitu suatu sifat yang serupa sebab atau mewujudkan hukum asal yang serupa dengan illat furuk seperti sifat arak dan tuak yang boleh memabukkan.
SOALAN TAMBAHAN
Pengertian Islam dan Kepentingannya?
Bagaimana Islam menjadi manhaj hidup dalam kekeluargaan, masyarakat dan Negara.
Bincangkan kepentingan syariat Islam dan keistimewaannya berbanding agama yang lain?
Bincangkan perkembangan Islam dan syariatnya sejak zaman Rasulullah saw sehingga kini.
Bincangkan peranan anda untuk mempertahankan kesucian syariat Islam.
RUJUKAN:
Muqaddimah Aqidah Muslimin (tajuk Pengertian Islam)
Pengantar Fiqh Islam ( Buku Silibus Diploma Tasawwur Islam, ILHAM)
Usrah dan Harakah ( Tajuk Sukatan Usrah berbagai Peringkat)
Teks Usrah Peringkat Pengenalan. Ustaz Idris Hj Ahmad. Sarjana Media: Kuala Lumpur, 2000.
0 pandangan sahabat-sahabat:
Post a Comment