BASAHKAN HATI DENGAN IKHLAS

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya." ( Surah Az-Zumar 39: Ayat 2)

TAK PERLU TAKUT

"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya." [Surah al-Araf 7: Ayat 42]

MENJADI RENDAH ?

Dalam dunia ini, ada yang tingg dan yang rendah, yang miskin dan yang kaya, yang pandai dan yang kurang pandai, yang berpelajaran tinggi dan berpelajaran rendah, yang tahu banyak dan tahu sedikit, yang berjawatan tinggi dan berjawatan rendah, yang rumah besar dan rumah kecik, yang kereta besar dan kereta kecik, dan sebagainya. Tapi kita harus tau, di sisi Allah, siapa yang lebih mulia.

DUNIA HANYA SEBENTAR

Bilamana kehidupan di dunia yang seketika dan sementara ini dapat melalaikan umat manusia daripada mengingati kehidupan di akhirat yang kekal abadi, pastinya dunia ini benar-benar merupakan godaan dan penghalang paling besar yang akhirnya mnyesatkan manusia itu sendiri. Dunia bukannya tempat bagi manusia hidup kekal dan menjadikannya syurga.

SEKADAR MANUSIA BIASAKAH KITA?

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan beramal yang soleh, dan berkata: 'Sesungguhnya aku daripada golongan Muslimin (orang yang berserah diri).'" [Surah Fussilat, 41:33]

Hadaf Syariat Islam : Menjaga 5 Perkara

TUJUAN SYARIAT ISLAM.


1. MEMELIHARA AGAMA

Allah menghukum orang yang menukar agama (murtad) dengan hukuman bunuh sebagai balasan demi menjaga agama Allah yang agung ini sentiasa terpelihara bukan untuk dipermainkan. Allah telah menerangkan di dalam Al-Qur’an: 


“Dan barangsiapa dari kamu yang berpaling daripada agamanya, lalu ia mati padahal ia tetap kafir, maka gugurlah amal-amal mereka di dunia dan akhirat. Dan mereka akan jadi ahli neraka yang mereka (akan) kekal di dalamnya” 

[Al Baqarah : 217] 


2. MEMELIHARA AKAL 

Allah mengharamkan benda-benda yang memabukkan kerana hendak memelihara akal manusia. Kita dapat perhatikan orang-orang yang mabuk disebabkan bahan-bahan tersebut perangainya sama seperti binatang mereka sanggup melakukan sesuatu yang tidak baik tanpa perasaan malu. Islam telah menjelaskan bahawa arak adalah ibu segala yang keji dan kotor. Sebagaimana sabda Rasulullah saw: 


“Arak adalah ibu segala kejahatan” 


Islam menghukum kepada mereka yang sabit melakukan kesalahan dengan 40 kali sebat berdasarkan kepada hadis Nabi saw: 


“ Bahawasanya Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat” dan abu baker menyebat 40 kali dan Umar menyebat 80 kali ” 





3. MEMELIHARA NYAWA

Islam telah menetapkan bahawasanya sesiapa yang menghilangkan nyawa manusia lain akan dikenakan hukuman bunuh balas. Ini beerti bahawa qisas terhadap seorang adalah perlu untuk memelihara keselamatan hidup (nyawa) orang lain, dengan ini akan memberi pengajaran yang berkesan kepada sesiapa sahaja yang berani melakukan perbuatan tersebut. 





4. MEMELIHARA HARTA

Harta perlu dipelihara dengan baik, maka Allah mensyariatkan supaya mereka yang mencuri harta dikenakan hukuman apabila mempunyai syarat-syarat dan bukti yang sahih. Oleh kerana itu balsannya adalah dipotong tangannya apabila syarat-syaratatau bukti-bukti telah mencukupi bagi si pencuri tersebut. Inilah keadilan Islam supaya manusia itu sentiasa menghormati harta atau hak orang lainnya. 


5. MEMELIHARA KETURUNAN

Islam menjamin keselamatan ummah dan keturunan pemeluknya. Untuk melangsungkan zuriat manusia di dunnia ini maka disyariatkan perkahwinan. Perkahwinan juga merupakan satu saluran yang sah bagi memenuhi naluri manusia. Justeru itu Islam mengharamkan sama sekali hubungan jenis tanpa mengikut saluran yang sah di sisi syarak. Hukuman yang setimpal dikenakan kepada mereka yang melakukan jenayah tersebut adalah 100 kali sebatan bagi yang belum berkahwin manakala yang sudah berkahwin direjam dengan batu yang sederhana sampai mati. Ini berdasarkan kepada Firman Allah swt : 


“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah swt, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” 

[An-Nuur ayat 2]

Wahai Anakku

Wahai anakku,
Apabila kamu berada dalam sesuatu jamaah, ikutlah apa yang diputuskan oleh jamaah dan kepimpinannya kerana di situ ada keberkatannya. Redha Allah bersama jamaah. Janganlah kamu merasa hebat terhadap pandanganmu sendiri atau pandangan yang berbeza dengan keputusan jamaah, kerana engkau telah mencabut keberkatannya untuk dirimu dan mengundang kemurkaan Allah.

Wahai anakku,
Andainya engkau kecewa kerana pandanganmu tidak dihargai atau ditolak oleh jamaah, sedarlah bahawa syaitan telah menguasai perasaan dan fikiranmu. Ia berusaha agar engkau bersedih, marah dan kecewa. Syaitan akan terus menghasutmu untuk memecah-belah jamaah melalui lidah dan tanganmu. Awasilah.

Wahai anakku,
Jangan sesekali kamu menjadi punca yang menghancurkan keputusan jamaah.

Wahai anakku,
Awasilah golongan yang kecewa kerana mereka akan dikumpulkan bagi menyemarakkan kekecewaan dan kemarahan terhadap keputusan jamaah, sehingga ia akan membentuk gelombang kemarahan dan pemberontakan terhadap jamaah. Di kala itu mereka akan merosakkan perjuangan ini.

Wahai anakku,
Musuh ingin melihat perpecahan di kalangan kita dengan menimbulkan buruk sangka dan hilangnya hormat antara satu sama lain. Mereka gembira apabila kita hilang adab dalam memberi pandangan. Di kala itu segala pandangan baik tidak lagi menjadi kebaikan. Kerana kebaikan hanya akan lahir bila kamu berkasih sayang serta hormat yang tinggi pada seseorang. Bilamana hilang hormatmu pada mereka, maka hilanglah hormat mereka kepadamu.

Wahai anakku,
Kalau kamu dibenci kerana kamu membenci dan kalau kamu mengasihi kamu akan dikasihi. Janganlah engkau melampau dalam kasih sayang kepada seseorang melebihi apa yang diizinkan Allah. Kerana terlampau kasih dan sayang akan cepat mengundang rasa kecewa. Bersederhanalah dalam segala tindakan, kerana engkau akan lebih tenang dalam pandangan penghormatan.

Senyum

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

Tasawwur Islam : Syariat Islam


Takrif Al-Syariah Al-Islamiyyah


Syari’ah dalam bahasa Arab bererti aliran (al mazhab) dan jalan yang lurus. Syariah Islamiyyah menurut istilah ialah hukum-hakum yang disyara’kan oleh Allah s.w.t. untuk hambaNya, samada yang berkaitan dengan aqidah, ibadat, akhlak, muamalat, dan sistem-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Ia juga diertikan sebagai saluran air yang mengalir yang menjadi sumber minuman.

Hukum-hukum ini dinamakan Syariah kerana lurus dan tidak menyimpang sistemnya dari matlamatnya, seperti landasan yang lurus tidak ada bengkang-bengkoknya. Berdasarkan penjelasan di atas maka syariat Islam Islam dari segi istilah syara’ adalah 


“ Semua hukum yang diciptakan oleh Allah untuk hambanya sama ada hokum-hukum ini diperundangkan melalui al-Qur’an atau Sunnah Nabi saw dalam bentuk perkataan, perbuatan atau perakuan baginda ”. 


Ciri-ciri keistimewaan Syariah Islamiyyah



Rabbaniyyah


Ianya membawa erti bahawa hukum dan peraturan Syariah ini dari Allah swt dan bukan ciptaan manusia. Beerti sumber Syariah Islamiyyah ialah Allah swt yakni wahyuNya kepada Nabi Muhammad saw dengan lafaz dan makna, iaitu al-Qur’an, atau dengan makna tidak lafaz iaitu as-Sunnah. Ciri ini membezakannya sama sekali dari semua perundangan duniawi kerana ia bersumberkan dari manusia sedangkan Syariah Islamiyah sumbernya pencipta manusia itu sendiri. 


Natijah Syariah Islamiyyah:

i) Prinsip-prinsip Syariah dan hukum-hakamnya bersih dari sebarang rupa bentuk kezaliman, kelemahan dan menurut hawa nafsu kerana penciptanya ialah Allah yang mempunyai kesempurnaan mutlaq. Undang-undang duniawi pula mempunyai kelemahan kerana ia lahir dari manusia yang memiliki kelemahan seperti kejahilan, penyelewengan, kezaliman, kelemahan, kekurangan, terpengaruh dengan hawa nafsu, alam persekitaran, kaum atau bangsa, dan sebagainya.

ii) Hukum-hukum Syara’ mempunyai kehebatan dan kehormatan dalam jiwa orang-orang yang beriman dengannya sama ada pemerintah mahupun yang diperintah, justeru kerana ianya dari Allah dan pasti memiliki sifat Ad-Din. Atas dasar inilah ia tetap dihormati dan dipatuhi dengan rela hati yang didorongi oleh jiwa yang bersih dan keimanan yang mendalam tanpa ada unsur paksaan.


Balasan Duniawi dan Ukhrawi

Balasan duniawi ini ada yang bersifat kanun jenayah dan ada yang dikatakan kanun sivil sepertimana juga dengan undang-undang buatan manusia tetapi skopnya lebih luas dari balasan yang terdapat dalam undang-undang buatan manusia, justeru undang-undang Islam itu mencakupi seluruh urusan individu termasuklah soal-soal keagamaan dan akhlak, tidak seperti mana undang-undang buatan manusia. 

Balasan ukhrawi adalah dikenakan ke atas setiap perlanggaran hukum syara’ sama ada ia amalan had mahupun amalan anggota lahir, yang berkaitan dengan muamalat maliyyah (sivil) mahupun jenayah dan sama ada yang bersalah itu dikenakan hukuman keseksaan atau tidak, selagi tidak bertaubat nasuha dan mendapat penghalalan hak dari orang tertentu. 


Alamiyyah dan Umumiyyah

Syariat Islam menjadi keistimewaan dengan ciri ini, ia menjadi rahmat untuk sekalian alam, menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat. Ia bukan perundangan untuk satu jenis manusia, Negara, bangsa dan kabilah tertentu sahaja, bahkan ia untuk manusia di mana jua mereka berada. Islam meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara seperti:


a) Dharuriyyat : iaitu kehidupan manusia tidak akan wujud dengan ketiadaannya. Perkara-perkara dharuriyyat ini perlu untuk menjaga akal, agama, jiwa, keturunan dan harta. 


b) Hajiyyat : perkara yang diperlukan manusia untuk hidup. Namun manusia hidup tanpa kewujudannya. 


c) Tahsiniyyat : iaitu perkara yang diperlukan manusia untuk hidup lebih mulia. Contohnya Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara penutupan mengikut tempat dan suasana. Ia lebih mirip kepada unsur kesempurnaan kemewahan. 


Kekal

Syariat islam kekal sepanjang zaman tanpa dinasakh dan tiada perubahan. Ia merupakan Syariat Islam terakhir dan penutup syariat-syariat samawi. Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir, tiada Nabi lagi selepas baginda. Kesejagatan Syariat Islam, umum untuk seluruh manusia dan tidak menerima sebarang pembatalan dan tukar ganti. 

Sudah pasti segala peraturan dan hukum-hakamnya itu dapat mencapai kepentingan manusia sepanjang zaman dan disemua tempat dan mampu memenuhi segala keperluan yang dihajati oleh manusia setiap masa, dijadikannya sebagai penutup semua syariat, peraturan, prinsip dan hukum-hukumnya sesuai dilaksanakan untuk semua masa dan tempat. 


Syumul

Syariat Islam itu suatu sistem yang syumul mencakupi semua urusan hidup yang menggariskan manusia jalan iman, menerangkan dasar-dasar aqidah, menyusun hubungan manusia dengan Tuhannya, memerintah bersihkan jiwa, dan mengatur hubungan manusia sesama manusia. Kesyumulan Islam ini dapat dilihat pada 3 kelompok ;

i) Hukum-hukum yang berkaitan dengan aqidah seperti beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perbahasan hukum-hukum aqidah ini dan kajiannya terdapat dalam ilmu kalam atau Tauhid.

ii) Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak seperti wajib bercakap benar, amanah, menyempurnakan janji, haram berdusta, khianat, mungkir janji. Hukum-hukum akhlak ini kajiannya adalah dalam ilmu akhlak atau Tasawwuf.

iii) Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkataan dan perbuatan manusia dalam hubungan mereka dengan yang lain. Hukum amali ini dinamakan dengan al-fiqh, perbincangannya dalam ilmu al-Fiqh.


Ia terbahagi kepada 2 bahagian yang besar iaitu:


a) Ibadat seperti solat, puasa, zakat yang mana ia bertujuan mengatur hubungan di antara individu dengan Tuhannya.


b) Adat dan muamalat yang bertujuan untuk mengatur hubungan di antara sesama manusia.



Kemanusiaan

Syariat Islam bersifat kemanusiaan sejagat kerana ianya diturunkan oleh Allah swt untuk seluruh manusia dan rahmat Allah kepada mereka sepanjang zaman dan di semua tempat. 



Keadilan mutlak

Keadilan bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya menurut hitungan sebenarnya daripada Allah. Adalah menjadi tujuan Islam itu menegakkan keadilan mutlak dikalangan manusia seluruhnya dengan menegakkan persaudaraan dikalangan mereka, memelihara kehormatan agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta benda dengan bermatlamat dunia dan akhirat.

Tasawwur Islam : Hakikat Yang Sebenar

Tasawwur Islam Yang Sebenar


Islam sebagai Ad-Din yang lengkap dan sempurna yang akan membicarakan segala perkara dalam kehidupan manusia dan tidak ada sedikit kekurangan dan kecacatan dalam ajarannya. Oleh itu Islam merangkumi aspek aqidah, ibadah, syariah, akhlak, kebudayaan, ilmu pengetahuan, ekonomi, politik, dakwah, pergaulan, jihad, dan bermacam lagi. Disini diselitkan beberapa takrif berkenaan dengan tasawwur Islam tersebut.   



Aqidah 


Ialah kepercayaan kepada Allah yang tersimpul kukuh di dalam jiwa manusia tanpa ada sedikit keraguan terhadap kesemprnaan ajaran Islam. Inilah dasar dan pokok ajaran Islam dan seruan yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt: 

Bermaksud: 

“sesungguhnya kami telah mengutuskan pada setiap umat seorang rasul supaya mereka menyembah Allah dan menjauhi taghut” 

 [Surah An Nahl : 36] 

Ibadah 

Satu ketundukan dan pengabdian kepada Allah yang esa dalam seluruh aspek kehidupan, dalam erti kata yang lain seluruh pekerjaan dan amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan mengikut syariat Islam, maka ia dinamakan ibadah. Firman Allah swt: 


“ Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengbdikan diri kepadaKu ” 

[Surah Az Zariyat : 56] 


Syariah

Iaitu perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia dan tidak boleh diubah dengan apa cara sekalipun. Syariat Islam memelihara lima prinsip; iaitu agama, nyawa, maruah, akal dan harta. 



Akhlak 


Imam Al Ghazali menyatakan bahawa akhlak ialah “ bawaan sifat jiwa yang tersembunyi atau melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu berfikir terlebih dahulu ”.

Berdasarkan definisi inilah Imam Al Ghazali menyatakan bahwa akhlak itu ialah sifat-sifat yang telah menjadi tabiat seseorang. Ia bukan sesuatu yang bersifat takalluf (sesuatu yang dibuat-buat) tetapi telah menjadi perangai dan miliknya yang sebenar bukan ia berpura-pura berperangai baik di hadapan orang pada masa-masa tertentu. Akhlak ialah satu ajaran daripada Islam, untuk memperbaiki tingkahlaku manusia dan ia mempunyai tempat yang tinggi dan pengaruh yang besar dalam gerakan dakwah kerana akhlak yang baik merupakan besi magnet kepada Islam. 



Kebudayaan 


Islam mengikitraf kebudayaan asalkan ia berlandaskan kepada Islam. Di antara kebudayaan yang berlandaskan Islam adalah cara berpakaian, Islam tidak menetapkan cara khusus berpakaian kerana masing-masing kaum mempunyai cara berpakaian tersendiri namun kewajipannya adalah menutup aurat bagi lelaki dan perempuan yang tidak menampakkan susuk tubuh serta fitnah yang lebih buruk. Kaum lelaki dilarang memakai pakaian serupa perempuan begitu jugalah sebaliknya. 



Ilmu pengetahuan 


Islam datang dengan menghapuskan kejahilan manusia dan digalakkan supaya menuntut ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan mendapat tempat yang tinggi di sisi Islam dan para penuntutnya dianggap mulia. Ayat al-Qur’an yang pertama menyuruh manusia supaya membaca (menuntut ilmu pengetahuan) dan banyak lagi dalil-dalil yang meminta umat Islam supaya belajar dan menuntut ilmu. 




Ekonomi 

Ekonomi adalah penting untuk kehidupan manusia, lantaran itulah Islam mengiktiraf dan menerima ekonomi sebagai satu usaha meningkatkan taraf hidup manusia. Ilmu yang berkaitan dengan ekonomi di dalam Islam telah banyak diperluaskan oleh ulama’ yang pada dasarnya Allah menyebut tentang halalnya jual beli dan diharamkan riba’, begitu juga diwajibkan mengeluarkan zakat, beerti ia menyentuh perihal ekonomi. 



Politik 


Manusia adalah makhluk yang perlukan hubungan sosial (sosial kontrak), justeru itu ia memerlukan bimbingan daripada pemimpin-pemimpin. Rasulullah saw telah meninggalkan kita dengan meninggalkan soal kepimpinan (khilafah) sebagai sesuatu yang penting di dalam membangunkan umat. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan sesiapa yang menganggap politik bukan sebahagian daripada Islam beerti ia telah memisahkan agama dari landasan yang sebenarnya. Inilah fahaman ideology yang ditanam oleh musuh-musuh Islam supaya dengannya umat Islam akan terpisah secara berjuzuk-juzuk dari amalan Islam yang sebenar. 



Dakwah


Dakwah ialah menyeru, mengajak manusia kepada pengabdian kepada Allah, ia adalah tugas mulia yang amat penting dan inilah tugas para Nabi dan rasul di utuskan ke muka bumi oleh Allah swt. Perbincangan mengenai dakwah akan dibincangkan dalam topik yang akan datang. 



Pergaulan


Manusia adalah makhluk yang memerlukan sosial untuknya berinteraksi dengan manusia lainnya. Oleh kerana itulah Allah menjadikan mansuia ini berpasang-pasang supaya manusia berasa damai dan tenteram dalam kehidupan. Dalam kehidupan bermasyarakat, Rasulullah banyak mengajar umatnya bagaimana tatacara hidup bermsyarakat yang sebenarnya seperti menghormati orang tua, memuliakan jiran, menziarahi orang lain, memuliakan tetamu, dan sebagainya. 



Jihad 


Perkataan jihad berasal dari kata “jahada” yang bermaksud kesungguhan. Menurut syarak ialah pengerahan tenaga dari seorang Muslim dalam mempertahanakan dan menyebarkan Islam kerana menuntut keredhaan Allah. Kerana itu jihad adalah satu kalimah yang besar maknanya dan tuntutannya juga amat besar dipikul oleh umat Islam. Jihad dalam konteks yang luas boleh difahami dan diaplikasikan dalam pelbagai cara seperti lisan, berjihad menentang hawa nafsu, berjihad dengan peperangan, dan pelbagai lagi.

Sunyinya .. ! Namun Ia Bermakna

Ok, untuk hari ini dah genap dua belas hari selepas peperiksaan final semester ini. Masing-masing, rata-ratanya dah pulang ke Malaysia untuk melepaskan rindu ke keluarga terchenta. Iyalah, " Mesir ni ada apa, ada debu, pasir, bangunan tak siap. Malaysia ada KLCC, Kau ada? ". Amboi, amboi. 

-senyum-

Mesir, walau pun bumi yang tidak semaju tanah air kita, namun ia mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Pendek kata, siapa yang duduk sini akan tahu apa kelebihannya yang mampu membuatkan mereka yang menuntut disini terasa istimewa. Tanya sahaja kepada mahasiswa yang menuntut di kawasan perlembahan nil ini, tidak kiralah pelajar Pengajian Islam atau Sains kesihatan, pasti mereka mampu untuk bercerita berkenaan 'permata' yang mereka kutip di sini.

Hari ke-12 saya habis peperiksaan, menunjukkan dua belas harilah saya mula ditinggalkan kesunyian dari sahabat se-circle saya dan kawan-kawan di bumi Mansurah ini. Saya belajar untuk mengharungi hari-hari yang sunyi tanpa sahabat, tetapi hari yang indah bersama ammu-ammu arab di masjid-masjid dan pasar-pasar. Sahabat-sahabat sebulatan dan beli tiket pulang awal-awal lagi, saja saya memilih tarikh dua minggu lewat daripada tarikh tamat peperiksaan. Kata saya, "Saya nak teman member-member yang tengah exam lagi nieh". Ceewah. 

Allah berfirman,

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya".

 [Surah Qaaf ayat 16]


Persatuan Dan Akademik

Dalam perjalanan hidup saya, saya berharap saya mampu menjadi mereka yang 'hebat'. Hebat yang bagaimana yang saya impikan, saya mendefinisikan hebat dalam kamus hidup saya sebagai suatu kondisi untuk mendapatkan redha Allah. Suka saya sekiranya saya antara mereka yang dapat ditarbiyah dengan perjalanan sirah nabi-nabi, dimotivasikan dari alam sekeliling yang diciptakan, dan terus beriman sebagaimana diperintahkan oleh Allah. Saya mulakan perjalanan untuk menuju impian ini dengan berazam menjadi mereka yang bermanfaat.

Bagi saya, satu kerugian bila mana kita membuang masa yang ada tanpa terisi dengan kebaikan. Dan saya percaya, masa yang tidak diisi dengan baik akan membawa kepada kelalaian. Sudah pastilah syaitan itu lebih licik dalam mempergunakan kita untuk kejahatan. Di sini, saya cuba mengisi masa saya dengan berpersatuan tanpa menafikan hak dan amanah saya sebagai pelajar perubatan. Bila kita ada sesuatu, baru kita mampu untuk memberi sesuatu.

Alhamdulillah, dalam minggu ini sudah ada lagi kertas kerja yang perlu difikirkan perancangan dan pergerakkan program. "Program Ihsan Ramadhan '13". Nama program yang baik dan pada bulan yang sangat baik. Saya hanya dapat bersama-sama merancang, tapi tidak dapat bersama kerana Malaysia terlebih dahulu memanggil saya. Insya Allah tahun depan baru dapat bersama menjayakan program di bulan Ramadhan di Mesir ini. Saya harap, segala penglibatan saya ini dikira sebagai amal jama'ie yang diterima oleh Allah.

Masjid Muhammad Ali Pasha, Mesir

Hayya Ala Solah!

Masa yang ditepati, Bermanfaat kepada orang lain, Gerak kerja yang tersusun.
Ketiga-tiga item ini meliputi aspek pembinaan seorang fardil muslim yang soleh dan matang. Hendak jadi muslim yang qawiy  tidak cukup dengan pandai bermain kata-kata, atau mantap menaip status yang berapi-api di laman sosial Facebook. Akan tetapi, rijal yang qawiy perlu melatih diri dengan aspek pentarbiyahan yang solid meliputi tarbiyah ruhiyyah, dzatiyyah, jasadiyyah dan lain-lain lagi.

Jangan menjadi ibarat diketuk tin kosong yang bunyinya kuat, namun isinya tiada apa-apa.